Sunday, May 22, 2011

4 novel

Alhamdulillah, pujian bagi Allah Raja alam yang paling berkuasa. Sejak kepulanganku ke teratak Kampung Sepakat ini, selepas peperiksaan akhir semester lalu, telah empat buah novel saya baca. Bermula dengan Isabella, Maria, Sebongkah Batu di Kuala Berang dan petang tadi Bara Cinta Canberra. Semuanya memberi pengajaran yang bukan sedikit buat bekalan hidup.


Novel Isabella dan Maria membawakan plot penceritaan tentang agama. Dalam Isabella, pembaca banyak didedahkan tentang Islam dan Kristian dengan mendalam. Sangat bagus saya kira untuk kita lebih menghargai agama Allah yakni Islam. Manakala dalam Maria, penulis menceritakan tentang tiga penjuru isu ketuhanan Islam-Aties-Kristian.
    

Pada pandangan saya, betul apa yang saya lakukan. Membaca Isabella dahulu kemudian Maria. Kerana ianya menambahkan lagi keyakinan kita pada Islam. Dari pembacaan novel Maria, saya baru bertemu bagaimana yang dikatakan fahaman Ateis itu. Alhamdulillah, saya sudah punya idea tentang golongan yang berfahaman Ateis. Tetapi, satu perkara yang saya sedar, sebenarnya fahaman Ateis ini telah meresap ke dalam jiwa-jiwa yang lalai kepada Tuhan.

Terima kasih kepada penterjemah novel Isabella dan Maria. Kedua2nya sangat bagus untuk dibaca buat semua yang bergelar pendakwah atau da’i. Untuk memenangi hati mad’u, kita perlu ada bekal yang banyak, justeru kita tidak mudah lelah dalam menangani isu yang timbul.


Dari dua novel itu, saya beralih ke novel yang saya beli pada hari pertama keluarannya..Sebongkah Batu di Kuala Berang, karya Faisal Tehrani. Bagi saya novel ini agak ringan berbanding novel-novelnya yang lain. Sebongkah Batu di Kuala Berang membawa saya menyulusuri sejarah Kuala Berang, atau dahulu kala dinamai Foloan. Siapa sangka Kuala Berang yang biasa-biasa itu mempunyai sejarah yang cukup berharga buat warga Semenanjung Emas. Novel ini penuh dengan fakta-fakta sejarah kedatangan Islam ke tanah emas ini. Betapa bertuahnya orang Kuala Berang dahulu kala dengan pertemuan batu bersurat sebuah catatan perjalanan. 

Selepas menghayati kandungan Kuala Berang, saya menjiwai pula watak seorang ‘Ikmal Hakimi’ dalam Bara Cinta Cabberra. Novel ini hasil karya Ilham Hamdani, seorang penjawat awam di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Canberra, Australia. Karya ini membawa saya menerokai Canberra yang tak pernah saya kenali sebelum ini. Banyak perkara yang diketengahkan dalam hasil tulisan penulis ini, sesuatu yang sangat dekat dengan kita, juga persoalan-persoalan tentang kehidupan. Intipati dari novel ini yang sangat dekat dengan anak muda seperti saya; carilah cinta Tuhan nescaya kamu akan berjumpa akan cinta hamba-Nya.

Membaca hasil karya penulis-penulis berwibawa membawa saya dekat dengan Pencipta. Tahniah atas usaha murni mereka, yang menjadikan novel itu medan menyebarkan ilmu.

Satu perkara di fikiranku, saya suka membaca karya-karya orang tetapi bilakah pula saya mahu cuba menulis…sesuatu mesti difikirkan….

Setakat ini dahulu perkongsian dari benak yang sangat dahagakan ilmu. Saya mahu pastikan cuti yang panjang ini diisi dengan sesuatu yang berfaedah lagi menjadikan otak saya tidak berhenti berfikir tentang kehidupan. Moga saya dan kamu mendapat manfaat dari pembacaan ini. 

Apakah pula buku seterusnya untuk di baca??

Saya mengalu-alukan sebarang komen dan cadangan dari pembaca catatan ini.

SELAMAT MEMBACA!!!

                                                                ...catatan perjalanan seorang hamba...
                                                                       Jitra, Kedah Darul Aman
                                                                        22 Mei 2011, 9:45p.m.

Thursday, May 5, 2011

Mursyid Am Ikhwanul Muslimin ke-8

assalamualaikum...


Mursyid Am Ikhwanul Muslimin


Tadi saya membaca perihal tokoh Ikhwan Muslimin dalam http://www.al-ikhwan.net
Saya baca tentang profil Mursyidul Am Ikhwan yang ke-8. 
Namanya Prof Dr Muhammad Badi' Al-Majis Sami. 
Beliau ini rupa-rupanya seorang doktor haiwan. Subhanallah.. 


Sungguh saya kagum melihat satu lagi susuk tubuh pemimpin Ikhwan Muslimin. Mereka ini bukan calang-calang orang yang dipilih untuk memimpin sebuah jamaah yang besar.


Selepas daripada pembacaan, saya mendapat inspirasi. Mahu belajar dengan lebih tekun dalam bidang yang saya ceburi saat ini. Saya berpandangan, setiap bidang ilmu yang kita terokai sebenarnya mempunyai peranan masing-masing. Apa yang pasti, jangan menyalah guna ilmu tersebut. Apabila agama Islam dimasukkan ke dalam apa jua ilmu yang kita dalami, ia pastinya akan menjadi ilmu agama juga. 


Akhir kalam, jom manfaatkan apa jua bidang yang kita dalami untuk Islam tercinta. Semoga dengan usaha itu, mendapat ganjaran pahala dan syurga dari-Nya. 


waallahu'alam...