Wednesday, September 23, 2015

Bandaraya Kuching Bandaraya Perpaduan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hari Isnin bersamaan 21 September 2015, saya berkesempatan ke Wacana Fikrah Ummah Siri ke-Lapan 2015 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan tajuk “Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Bandaraya Perpaduan – Suatu Penghayatan”, penganjur menjemput Datuk Bandar DBKU sebagai penceramah dan Encik Ami Ibrahim Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia sebagai pengerusi wacana.

Wacana ini bermula jam 9:30 pagi dan berakhir jam 11:30 pagi bertempat di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

Sebelum ke program ini, saya tidak dapat mengagak apa yang bakal dikupas oleh penceramah. Samada ia menarik perhatian atau membosankan. Walau bagaimanapun, wacana ini agak bermanfaat bagi saya yang baru bermastautin di Petra Jaya ini.

Saya kira wacana ini diadakan di sini rentetan temu bual Datuk Bandar DBKU, Datuk Haji Abang Abdul Wahap bin Haji Abang Julai yang menjadi fokus dalam Majalah Dewan Bahasa untuk edisi September 2015. 


Baru saya tahu bahawa Bandaraya Kuching ini telah diisyitihar sebagai Bandaraya Perpaduan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Dato Seri Adenan Satem pada 1 Ogos 2015.

Dalam ucapan Datuk Bandar yang berpandukan slideshow powerpoint (saya rasa bahan disediakan oleh orang bawahan beliau) , beliau ada menyatakan 12 perkara yang menjadi kriteria Bandaraya Perpaduan, iaitu:
  1. Berstatus Bandaraya
  2. Kepadatan Penduduk Tinggi
  3. Kepelbagaian etnik dan budaya yang besar
  4. Kesatabilan Politik
  5. Keunikan struktur Pendidikan
  6. Kesamarataan Peluang Pekerjaan
  7. Sistem Persekolahan
  8. Pembahagian Biasiswa
  9. Penerimaan Perkahwinan Campur
  10. Penerimaan Kepelbagaian Budaya
  11. Kefahaman Tulin
  12. Keharmonian Sejati


Saya tidak mahu mengupas lanjut tentang 12 kriteria ini kerana ketiadaan fakta yang menyokong.

Datuk Bandar telah mengupas sedikit sebanyak tentang sejarah Kuching yang menjadikan Kuching hari ini. Pertama kali mengetahui Bandaraya Kuching ini dibahagi kepada dua pentadbiran mengejutkan saya, yakni Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Dewan Bandaraya Kuching Selatan (DBKS). Namun, kenyataan ini wajar diterima lantaran pelbagai faktor.

Di Sarawak ini, kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa memjadikan negeri ini unik. Bahasa perantara di antara etnik ini adalah bahasa Melayu Sarawak yang sedikit berbeza dengan Bahasa Melayu yang digunapakai di Semenanjung Malaysia. Tetapi perbezaan ini membuatkan saya lebih peka terhadap percakapan masyarakat untuk belajar dialek Sarawak.

Bangunan pentadbiran DBKU  yang terletak cantik di atas bukit telah saya lawati beberapa minggu lepas. Di bangunan ini juga terdapat Muzium Kucing (meow meow), masuk percuma kecuali jika mahu membawa masuk kamera.


Hampir empat bulan di kota Darul Hana. Masih banyak yang harus dan mahu diterokai. Terima kasih encik suami yang rajin membawa saya ke sana ke mari, mengutip pengalaman sepanjang merantau di sini. ^_^ 

Thursday, September 3, 2015

Coretan awal september

Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah pemilik alam ini. Lama tidak menulis di alam maya. Kekangan internet membataskan segala. 

Alhamdulillah sudah tiga bulan bergelar isteri. Alhamdulillah masih kuat di bumi Kenyalang ini. Dan saya berharap Allah terus kuatkan saya, cekalkan saya untuk hadapi alam rumahtangga di rantau ini. 

Masih banyak cabaran hidup yang akan kami hadapi. Setakat ini dengan saya yang belum bekerja, ditanggung suami sepenuhnya. Kali ini bakal Raya Aidiladha di Kuching. 

Doaku, moga Dia jagakan suamiku sepanjang dia mencari rezeki yang halal lagi diberkati. Ampunkan dosanya. Kuharap jua Allah pelihara kedua ibu bapa kami di Kedah dan Negeri Sembilan. Berikan mereka kesihatan dan keselamatan. Ya Rabb, Kau ampunkan juga dosa adik beradik kami, halalkan makan minum mereka. Semoga mereka tetap menunaikan solat dan zakat.

____________________________