Monday, January 23, 2017

Imanni Skinz

Assalamualaikum dan selamat pagi.

Setahun berlalu. Hari ini saya kembali menjengah dunia maya. Bersama Imanni Skinz.

Apa itu Imanni Skinz?

Imanni Skinz adalah produk penjagaan kecantikan keluaran bumiputera Muslim di Malaysia. Produk-produk dibawah jenama Imanni Skinz bersumberkan Organik Habbatus Sauda (dengan mendapat Sjil Kelulusan Organik). Selain itu, Imanni Skinz memberi satu pilihan untuk kita keluar dari menggunakan produk yang mempunyai bahan kimia yang memudaratkan. Ini kerana Imanni Skinz memberi jaminan kualiti bebas dari bahan kimia yang boleh memudaratkan wajah dan tubuh badan.


Senarai Produk Imanni Skinz

  • Blossom Cake Foundation
  • Gorgeous Serum
  • Cattleya Lipmatte
  • Cattleya Eyeliner
  • Zahra Cleanser
  • Zinnia Radiance Serum
  • Camellia Body Lotion
  • Azalea Loose Powder
  • Linnea Acne Moisturiser
  • Alora Blusher
  • Lavender Scrub


Ada banyak lagi yang saya akan kongsikan pada masa akan datang. 

Semoga bermanfaat.


Nuraini Nabilah Kamal
Kuching, Sarawak.

nuraini.nabilah@gmail.com


Tuesday, January 26, 2016

Cabaran Si Ustazah Kafa

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, masih dapat mengomel di ruang maya. Tinta yang lama ditinggalkan akan kita sambung.

Tahun ini saya dapat menyambung kontrak sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Mengajar Tahun 5B, iaitu kelas kedua. Baru mengajar dua minggu, bermula dari minggu kedua persekolahan saya sudah pening kepala. Hari mengajar mesti sakit kepala. Aduh...

Ragam anak-anak yang hampir 30 orang memang menguji fizikal dan mental. Minggu lepas, seharian kelas KAFA menyuruh mereka menghafal niat solat farhu. Aduhai anak, umurmu sudah sebelas tahun, bagaimana kamu solat nak, niatnya sudah hancur. Runtun hatiku, memikirkan masalah anak-anak. Pasti ramai antara ibu bapanya yang ambil mudah bab solat.

Itu bab solat, belum baca Al-Quran lagi, belum suruh baca jawi lagi. Hampir sepuluh orang belum menginjak al-Quran. Masih bertatih dengan Iqra'. Allahu, sungguh saya berdoa moga anak-anak sedar dengan keperluan ilmu Fardhu Ain dan Al-Quran. Sudahlah kelas KAFA di sekolah yang saya ajar hanya dua hari seminggu, ini bermakna masa yang saya peruntuk untuk mereka agak terbatas.

Anak-anak tahun 5 akan menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada Oktober ini, yang semua soalan ujiannya dalam tulisan jawi. Andai mereka belum mahir, manakan faham soalannya.

Besar cabaranku. Besar tanggungjawabku. Kuatkan hati. Mari kita tambah ilmu untuk memberi kepada orang lain. InsyaAllah.



Wednesday, January 6, 2016

Dua Kosong Satu Enam

Assalamualaikum.

Angka tahun bergerak lagi. 2015 pergi, menjadi sejarah. 2016 menjengah lima hari yang lalu. Apa yang telah berlaku di tahun lepas kita tinggalkan. Buat pedoman masa hadapan.

Awal tahun masih Kedah lagi. 2 Januari baru pulang ke Kuching.

Alhamdulillah tahun ini menyambung kontrak guru Kafa. Tanggungjawabku besar. Mendidik dan mengajar anak-anak sekolah rendah. Semoga aku dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

Gambar-gambar di Sarawak secara rawak. Sudilah melayan. =)

Perkampungan Bako
Pipit-pipit sedang menjamu selera.
Boleh upload dua sahaja gambar. Maka, setakat ini dulu entri kali ini.



"Anyone who keeps learning stays young."

Wednesday, September 23, 2015

Bandaraya Kuching Bandaraya Perpaduan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hari Isnin bersamaan 21 September 2015, saya berkesempatan ke Wacana Fikrah Ummah Siri ke-Lapan 2015 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan tajuk “Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Bandaraya Perpaduan – Suatu Penghayatan”, penganjur menjemput Datuk Bandar DBKU sebagai penceramah dan Encik Ami Ibrahim Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia sebagai pengerusi wacana.

Wacana ini bermula jam 9:30 pagi dan berakhir jam 11:30 pagi bertempat di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

Sebelum ke program ini, saya tidak dapat mengagak apa yang bakal dikupas oleh penceramah. Samada ia menarik perhatian atau membosankan. Walau bagaimanapun, wacana ini agak bermanfaat bagi saya yang baru bermastautin di Petra Jaya ini.

Saya kira wacana ini diadakan di sini rentetan temu bual Datuk Bandar DBKU, Datuk Haji Abang Abdul Wahap bin Haji Abang Julai yang menjadi fokus dalam Majalah Dewan Bahasa untuk edisi September 2015. 


Baru saya tahu bahawa Bandaraya Kuching ini telah diisyitihar sebagai Bandaraya Perpaduan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Dato Seri Adenan Satem pada 1 Ogos 2015.

Dalam ucapan Datuk Bandar yang berpandukan slideshow powerpoint (saya rasa bahan disediakan oleh orang bawahan beliau) , beliau ada menyatakan 12 perkara yang menjadi kriteria Bandaraya Perpaduan, iaitu:
  1. Berstatus Bandaraya
  2. Kepadatan Penduduk Tinggi
  3. Kepelbagaian etnik dan budaya yang besar
  4. Kesatabilan Politik
  5. Keunikan struktur Pendidikan
  6. Kesamarataan Peluang Pekerjaan
  7. Sistem Persekolahan
  8. Pembahagian Biasiswa
  9. Penerimaan Perkahwinan Campur
  10. Penerimaan Kepelbagaian Budaya
  11. Kefahaman Tulin
  12. Keharmonian Sejati


Saya tidak mahu mengupas lanjut tentang 12 kriteria ini kerana ketiadaan fakta yang menyokong.

Datuk Bandar telah mengupas sedikit sebanyak tentang sejarah Kuching yang menjadikan Kuching hari ini. Pertama kali mengetahui Bandaraya Kuching ini dibahagi kepada dua pentadbiran mengejutkan saya, yakni Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Dewan Bandaraya Kuching Selatan (DBKS). Namun, kenyataan ini wajar diterima lantaran pelbagai faktor.

Di Sarawak ini, kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa memjadikan negeri ini unik. Bahasa perantara di antara etnik ini adalah bahasa Melayu Sarawak yang sedikit berbeza dengan Bahasa Melayu yang digunapakai di Semenanjung Malaysia. Tetapi perbezaan ini membuatkan saya lebih peka terhadap percakapan masyarakat untuk belajar dialek Sarawak.

Bangunan pentadbiran DBKU  yang terletak cantik di atas bukit telah saya lawati beberapa minggu lepas. Di bangunan ini juga terdapat Muzium Kucing (meow meow), masuk percuma kecuali jika mahu membawa masuk kamera.


Hampir empat bulan di kota Darul Hana. Masih banyak yang harus dan mahu diterokai. Terima kasih encik suami yang rajin membawa saya ke sana ke mari, mengutip pengalaman sepanjang merantau di sini. ^_^ 

Thursday, September 3, 2015

Coretan awal september

Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah pemilik alam ini. Lama tidak menulis di alam maya. Kekangan internet membataskan segala. 

Alhamdulillah sudah tiga bulan bergelar isteri. Alhamdulillah masih kuat di bumi Kenyalang ini. Dan saya berharap Allah terus kuatkan saya, cekalkan saya untuk hadapi alam rumahtangga di rantau ini. 

Masih banyak cabaran hidup yang akan kami hadapi. Setakat ini dengan saya yang belum bekerja, ditanggung suami sepenuhnya. Kali ini bakal Raya Aidiladha di Kuching. 

Doaku, moga Dia jagakan suamiku sepanjang dia mencari rezeki yang halal lagi diberkati. Ampunkan dosanya. Kuharap jua Allah pelihara kedua ibu bapa kami di Kedah dan Negeri Sembilan. Berikan mereka kesihatan dan keselamatan. Ya Rabb, Kau ampunkan juga dosa adik beradik kami, halalkan makan minum mereka. Semoga mereka tetap menunaikan solat dan zakat.

____________________________


Wednesday, June 24, 2015

Puisi saya

Pertama Kali


Lautan itu
di rentas laju
membelah angin
bawah ke atas
atas ke bawah

Turunku 
dari si besi terbang
menjejak tanah 
tinggalan Brooke 

Kelam tidak kelam 
terang bulan
bayunya lembut 
hilang gundah
tenang jiwa

Tanah ini
tidak seperti
kota itu
kota pening
penuh pusing

Borneo 
jadi saksi
hijrah baruku.




Monday, June 22, 2015

Saya Isteri Dia

Assalamualaikum warahmatullah.

Apa khabar teman? Alhamdulillah, ini warkah pertama sebagai seorang isteri. Mengapa lama menyepi? Ketiadaan internet untuk disambungkan ke laptop peribadi. =)

Alhamdulillah, tanggal 30 Mei 2015, 12 Shaaban, selepas solat isya dengan sekali lafaz ijab qabul, saya sah sebagai isteri kepada si dia, Mohamad Shafiq Rohaizad. Percayalah si dia ini suamiku. >_<


Majlis akad nikah di Masjid Mukim Malau berlangsung dalam suasana hujan renyai. Subhanallah, hujan rahmat mengiringi. 

Perasaanku bercampur baur. Gementar, takut dan cuak bersatu. Ah, status berubah. Tanggungjawab bertambah. Keluarga juga bertambah. 

Encik suami.

Pertama kali menyalami tangan seorang lelaki ajnabi yang sah sebagai suami.

Menjadi satu...
"Ya Allah, jadikan suamiku seorang yang soleh, jadikan aku isteri solehah, kurniakan anak-anak yang tetap menunaikan solat, menghafaz al-Quran 
dan menjadi penyejuk mata ayah ibu."